IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima menghadap Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Mohd Nazri Ismail di Istana Kinta bagi menyembah maklum keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Nazri tiba kira-kira 10.23 pagi dan turut kelihatan ke sesi menghadap itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.

Sesi itu berlangsung selama kira-kira satu jam dan cubaan pihak media mendapatkan komen di luar pintu pagar istana tidak membuahkan hasil.

Difahamkan, tiada wakil atau pimpinan utama parti politik menyertai sesi itu kerana berada di kawasan masing-masing atau di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat berkaitan keputusan PRU15.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) 1 Perak Razman Zakaria berkata gabungan itu akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Beliau berkata ini kerana gabungan itu hanya memenangi 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Perak memerlukan 30 kerusi bagi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan PN berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

-- BERNAMA